Spekulasi pertemuan Azmin-PKR rekaan

PERIKATAN Nasional (PN) Selangor beranggapan spekulasi pertemuan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan beberapa pemimpin PKR baru-baru ini, direka bagi menimbulkan keraguan dan kesangsian dalam kalangan anggota Bersatu dan PN terhadap komitmennya.

Justeru, setiausahanya, Muhammad Hilman Idham berkata pihaknya menafikan sekeras-kerasnya mengenai perkara itu seperti dilaporkan portal media yang dipengaruhi PKR sebelum ini.

Jelasnya, kenyataan Mohamed Azmin pada Jumaat lalu, telah menegaskan beliau komited terhadap perjuangan Bersatu sebagai wadah politik dan terus berusaha untuk menyemarakkan idealisme parti.

“Malah beliau dengan tegas dan berprinsip menyatakan akan memberi tumpuan untuk bersama kepimpinan Bersatu melaksanakan dasar prihatin rakyat, mencerdaskan pemulihan dan menjamin pertumbuhan ekonomi lestari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Hilman, pimpinan Bersatu termasuk Mohamed Azmin yang menjadi anggota dipecat sebelum ini dari PKR, tidak langsung berminat untuk bersama parti yang mendewakan manusia, rakus tanpa hala tuju untuk memelihara kebajikan rakyat.

“Kami akan terus mempertahankan panji-panji Bersatu dan Perikatan Nasional demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.

Semalam, media melaporkan Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelaskan jadual hariannya yang sibuk menyebabkan beliau tidak dapat mengingat hotel mana dikunjunginya dan siapa yang ditemui pada minggu lalu.

Ahli Parlimen Gombak itu ditanya mengenai dakwaan beliau didakwa mengadakan pertemuan dengan wakil PKR baru-baru ini dan sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.

Pertemuan itu dipercayai berlangsung di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights