BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu pertemuan dengan beberapa pemimpin PKR, minggu lalu.
Ahli Parlimen Pekan itu, berkata sekiranya Mohamed Azmin tidak dapat mengingati hotel mana dikunjunginya dan siapa yang ditemui minggu lalu, beliau sedia untuk membantu.
“Tak ingat? Najib sedia membantu.
“Minggu lalu: Jumpa PKR di Hotel Sheraton. Petaling Jaya.
“Mei 2019: Jumpa Haziq di Hotel 4 Points, Sandakan,” katanya menerusi Facebook.
Semalam, Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelaskan jadual hariannya yang sibuk menyebabkan beliau tidak dapat mengingat hotel mana dikunjunginya dan siapa yang ditemui pada minggu lalu.
Ahli Parlimen Gombak itu ditanya mengenai dakwaan beliau didakwa mengadakan pertemuan dengan wakil PKR baru-baru ini dan sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Pertemuan itu dipercayai berlangsung di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.
Sejak akhir-akhir ini timbul desas-desus mendakwa Mohamed Azmin dan beberapa Ahli Parlimen akan membuat pusingan-U dengan mengetepikan Bersatu untuk menyokong pembangkang. – Malaysiapost