BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir Pakatan Harapan (PH) kenapa hanya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sahaja didakwa di mahkamah kerana menerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).
Menerusi hantaran di Facebook, Najib berkongsi tarikh-tarikh penting yang berlaku terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada zaman kerajaan PH.
“Orang PH kata SPRM sendiri perlu disiasat dan jelaskan kenapa nama-nama lain menerima dana dari syarikat Ultra Kirana yang disebut dalam perbicaraan Zahid tidak disiasat.
“Korang, tengok tarikh-tarikh ini, 4 Jun 2019 Latheefa Koya dilantik PH mula menjawat sebagai ketua SPRM.
“26 Jun 2019 Zahid pertama kali didakwa menerima wang dari syarikat Ultra Kirana,” katanya.
Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, ketika Ahmad Zahid mula didakwa di mahkamah, Tan Sri Tommy Thomas bertindak selaku Peguam Negara.
“Masa itu, peguam negara ialah Tommy Thomas lantikan PH juga.
“Jadi, jika nak siasat kenapa SPRM tidak menyiasat dan tidak didakwa masa itu pun, siapa yang patut disiasat?” soal Najib sinis.
Terdahulu, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) mempersoalkan kelewatan SPRM siasat nama-nama yang turut menerima dana UKSB seperti yang disebut dalam kes perbicaraan Zahid.
C4 juga meminta SPRM menjelaskan kenapa kelewatan siasatan berlaku dan meminta semua ahli politik yang dinamakan dalam perbicaraan Ahmad Zahid menjelaskan penerimaan dana mereka daripada UKSB dan bagaimana wang itu digunakan.
Dalam prosiding mahkamah baru-baru ini, bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, memaklumkan lejar itu merekodkan pembayaran antara 2014 hingga 2018 kepada beberapa ahli politik yang identiti mereka dirahsiakan melalui nama kod.
Menurut bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, lejar itu merekodkan pembayaran antara 2014 hingga 2018 kepada beberapa ahli politik yang identiti mereka dirahsiakan melalui nama kod. – Malaysiapost