PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhak mengekalkan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun Presiden Bersatu itu berkata, bilangan kuota menteri bagi partinya mesti kekal memandangkan Zuraida sudah meninggalkan parti.
Beliau berkata, sudah dua minggu Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu dan beliau masih menunggu tarikh untuk bertemu Ismail Sabri bagi membincangkan penggantinya.
“Itu dia (Zuraida) punya harapanlah (untuk kekal dalam Kabinet) tapi soal pokoknya PM kena buat keputusan.
“Dan tentulah dia (Ismail Sabri) harus menghormati apa saya sebut tadi, dia nak lantik Zuraida jadi apa pun itu hak dia tapi kuota Bersatu tu dia tak boleh ambil.
“Manalah tahu dia (Ismail Sabri) nak wujudkan satu kementerian untuk Zuraida jadi apa pun tu hak dia,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang media di Kuala Lumpur selepas menghadiri sesi dialog anjuran Institut Masa Depan Malaysia.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, beliau telah menyediakan nama pengganti Zuraida tetapi masih belum diserahkan kepada Ismail Sabri.
Zuraida mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 26 Mei lalu.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau akan membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri dengan perdana menteri.
Ismail Sabri kemudian memaklumkan akan memutuskan perkara itu selepas bertemu dengan Zuraida, yang sejak itu dilantik sebagai “bakal presiden” PBM. -Malaysiapost