Covid-19 hasilkan inisiatif kreatif bidang farmaseutikal – Dr Noor Hisham

PANDEMIK Covid-19 telah menguji sistem kesihatan negara dan susulan cabaran itu, pengurusan dalam praktis farmaseutikal juga mengalami perubahan yang ketara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pelbagai transformasi digital dan Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (VAS) telah terhasil.

Menurutnya, inisiatif seperti Farmasi Pandu Lalu, Locker4U, Ubat Melalui Pos (UMP) dan terkini pembangunan Sistem Pengurusan Pembekalan Ubat dikenali sebagai MyUBAT akan mempertingkatkan impak dan mengelakkan pembaziran.

“Inisiatif kreatif dan inovatif ini telah menyumbang kepada nilai tambah dan nilai cipta kepada sistem kesihatan negara dan perlu diperkembangkan dan dipertingkatkan untuk pengukuhan penyampaian kesihatan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dr Noor Hisham berkongsi mengenai Persidangan Amalan Farmasi Kebangsaan Tahun 2022 di Putrajaya yang dirasmikannya, hari ini.

Menurutnya, persidangan bertemakan, ‘Amalan Farmasi Berkualiti Pemangkin Kelestarian Perkhidmatan’ adalah bertepatan masa dan selaras dengan keperluan terkini bagi mengoptimumkan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

“Topik-topik yang diketengahkan dalam persidangan ini amat penting dan membawa manfaat yang besar kepada perkhidmatan farmasi negara.

“Di samping itu, isu-isu yang disampaikan juga boleh dijadikan sebagai panduan dan idea dalam mezahirkan kesedaran tentang kepentingan meningkatkan serta meluaskan ilmu pengetahuan dalam pengurusan praktis farmasi terhadap rawatan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit,” katanya.

Beliau berkata, persidangan itu juga perlu dijadikan medan pertukaran pandangan dan idea yang kreatif dan inovatif di kalangan warga farmasi awam dan swasta.

“Pengalaman perkongsian strategik awam-swasta ketika pandemik Covid-19 baru-baru ini diharapkan akan memperkayakan pengalaman, kerjasama dan keupayaan masing-masing serta menyumbang kepada kesihatan sejagat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights