CADANGAN menambah cuti hujung minggu daripada dua hari kepada dua setengah hari mulai Jumaat yang didakwa sedang dipertimbangkan kerajaan negeri Johor dilihat membimbangkan pelabur dan akan merugikan negeri berkenaan.
Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse, menegaskan tidak dapat memihak dengan cadangan dasar setengah hari cuti pada hari Jumaat apatah lagi cuti tiga hari atas alasan semata-mata untuk menunaikan solat Jumaat.
“Baru-baru ini ada tular satu laporan rasmi bahawa kerajaan negeri Johor sedang pertimbang untuk mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu daripada dua hari kepada dua setengah hari atau tiga hari cuti.
“Saya mohon maaf kerana tidak dapat memihak dengan cadangan dasar setengah hari cuti pada hari Jumaat apatah lagi cuti tiga hari atas alasan semata-mata untuk menunaikan solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, bagi sesetengah pihak atau jabatan kerajaan, dua jam terakhir waktu pejabat pada hari Jumaat amatlah penting.
“Sebagai contoh, orang awam yang mempunyai urusan kecemasan untuk ke luar negara tidak boleh memperbaharui pasport pada petang Jumaat kerana kaunter Jabatan Imigresen ditutup awal, maka terpaksa menunggu sehingga Isnin pagi.
“Begitu juga dengan urusan di mahkamah, sebahagian orang kena tahan terpaksa dilanjutkan waktu tahanan mereka pada Sabtu dan Ahad kerana mahkamah ditutup lebih awal,” katanya.
Jimmy berkata, baru-baru ini juga, Menteri Besar Johor telah menzahirkan cadangan agar Johor menjadi sebuah negeri yang kukuh serta cekap dari segi ekonomi dengan menjelang tahun 2030, ekonomi negeri Johor mesti mencecah RM260 bilion.
“Namun sekiranya kerajaan meneruskan dasar cuti berlebihan, saya dapati sukar untuk kita capai angka RM260 bilion tersebut.
“Untuk menarik pelabur kita perlu bersaing dengan negara dan negeri yang tidak mengamalkan dasar cuti berlebihan seperti Indonesia, Singapura, Vietnam, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak.
“Saya amat bimbang ianya akan beri kesan buruk kepada ekonomi negeri kerana pelabur lebih berminat untuk melabur di negara atau negeri yang bekerja kuat dan lebih masa,” katanya.
Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan negeri berwajah baharu dan segar, dibarisi pula oleh Menteri Besar serta Exco yang berusia muda, mereka wajib memberi contoh lebih positif kepada penjawat awam dan rakyat.
“Tunjukkan bahawa, barisan kepimpinan kerajaan yang baharu mampu bekerja lebih bertenaga, lebih masa, lebih baik selari dengan keupayaan kudrat orang muda. Bukannya mencadangkan dasar yang bakal memandu ke arah kemunduran.
“Saya menyeru supaya kerajaan negeri Johor membatalkan hasrat untuk melaksanakan dasar dua hari setengah cuti rehat atau tiga hari dan memadai hanya menjadikan Sabtu dan Ahad sebagai cuti rehat,” katanya. – Malaysiapost