FAM cadangan anjur Pestabola Merdeka tahun ini

PESTABOLA Merdeka kemungkinan bakal kembali dianjurkan tahun ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM(, Mohd Firdaus Mohamed yang berkata, kejohanan bola sepak tertua di rantau Asia itu sedang diusahakan untuk dihidupkan semula, tahun ini.

Menurutnya, kejohanan itu sebagai medan terbaik Harimau Malaya menguji kemampuan dalam persiapan menghadapi Piala Asia tahun hadapan.

Justeru Firdaus berkata, perkara itu akan dibentangkan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam tempoh terdekat.

“Sebenarnya perancangan untuk menganjurkan semula Pestabola Merdeka sudah lama difikirkan. Tetapi ia terhenti seketika kerana pandemik Covid-19 selama dua tahun.

“Tapi selepas ini ia akan dibincangkan semula bersama Presiden sebab kita mahu momentum skuad negara yang layak ke Piala Asia dapat diteruskan.

“Maka di situ memang ada keperluan untuk mengembalikan semula penganjuran Pestabola Merdeka,” katanya dipetik Harian Metro.

Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan Gon perlu didedahkan pada perlawanan pertandingan dan tidak boleh bergantung melalui perlawanan persahabatan sahaja bagi memastikan Malaysia dapat memberi cabaran ampuh di Piala Asia nanti.

“Perlawanan persahabatan sahaja tidak mencukupi kerana aura pertandingan adalah lebih baik buat skuad negara sebelum beraksi di Piala Asia,” katanya.

Bagaimanapun Firdaus berkata, penganjuran itu tidak semestinya berlangsung pada Ogos bagi menyambut Hari Kebangsaan kerana pihaknya perlu menyusun segala perancangan dengan teliti.

“Sebab ia membabitkan pasukan luar, jadi kita kena lihat komitmen pasukan yang ingin kita jemput dan semua ini mengambil masa.

“Selepas itu pasukan yang akan dijemput nanti kalau boleh berada di ranking lebih baik berbanding skuad negara dan dari situ kita boleh mendapatkan perlawanan kompetitif sebelum beraksi di Piala Asia.”

Kali terakhir Pestabola Merdeka diadakan adalah pada 2013, dan Malaysia telah bergelar juara 10 kali sejak ia dianjurkan pertama kali pada 1957. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights