DATUK Seri Najib Razak patut berasa bimbang dan mengambil tindakan berhubung pelaburan AS$1 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam syarikat usaha sama (JVCo) PetroSaudi International Ltd (PSI) kerana ia boleh menjejaskan kewangan negara.
Perkara itu diberitahu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini oleh bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Menurut Ahmad Husni ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib boleh menghubungi pengurusan 1MDB dan boleh mula bertindak.
Jelasnya, sebagai perdana menteri ketika itu yang juga pemimpin tertinggi negara, Najib mempunyai kuasa melantik dan memecat pengarah syarikat pelaburan strategik negara itu.
“Walaupun Najib pernah beritahu saya supaya tidak masuk campur dalam perkara itu, ada beberapa kali saya tetap berjumpa dengannya untuk menyuarakan perkara berkenaan. Hingga 2016 baru beliau mengambil tindakan dengan memecat Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
“Beliau (Najib) hanya berkata, bahawa Good Star akan membuat pembayaran kepada PetroSaudi. Beliau patut bertindak secepat mungkin, tetapi tidak berbuat apa-apa. Jika saya seorang perdana menteri, sudah tentu saya akan bertindak kerana ia akan menjejaskan kewangan negara.
“Saya bukan menghina perdana menteri. Saya bercakap melalui perspektif saya, ini mengenai mereka (1MDB) pinjam duit yang dijamin oleh kerajaan,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.
Najib bekas Perdana Menteri keenam, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Ahmad Husni sebelum ini memberitahu mahkamah, beliau bertemu Najib di pejabat beliau dan menyatakan 1MDB tidak sepatutnya membuat pelaburan usaha sama dengan PSI kerana syarikat ini masih dalam proses mencari gali minyak dan sekiranya minyak tidak ditemui, pelaburan usaha sama akan hangus.
Shahrol Azral melalui keterangannya di mahkamah sebelum ini, berkata Pengerusi 1MDB ketika itu, Tan Sri Mohd Bakke Salleh tidak berpuas hati dengan pembayaran AS$700 juta ke akaun Good Star Limited milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang juga syarikat sekutu PSI.
Melalui syarikat usaha sama (JVCo) 1MDB-PSI itu, 1MDB melakukan pembayaran dalam dua transaksi berbeza, masing-masing AS$700 juta ke akaun Good Star dan juga AS300 juta ke akaun JVCo.
Perjanjian usaha sama itu meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta disebabkan pindahan dana ke dalam Good Star. -Malaysiapost