Isu kenaikan harga ayam: 6 persoalan dibangkitkan Pemuda Umno
PEMUDA Umno membangkitkan enam persoalan untuk kerajaan memperhalusi dan menanganinya sebelum meneruskan pengapungan harga ayam di pasaran.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata persoalan itu dibuat selepas meneliti kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang mengumumkan harga ayam akan mula diapungkan mulai 1 Julai ini, bermakna harga siling ayam RM8.90 sekilo akan dimansuhkan.
“Justeru, beberapa persoalan persoalan penting perlu ditangani kerajaan, antaranya adalah pertama, apa jaminan harga ayam di pasaran tidak naik mendadak? Sedangkan waktu harga silingpun, harga ayam mencanak naik sehingga RM12.50 sekilo dengan caj-caj perkhidmatan yang dikenakan tanpa kawalan pihak berkuasa.
“Kedua, apabila RM729 juta subsidi yang ditawarkan kerajaan kepada penternak dimansuhkan atas alasan ramai tidak memohon subsidi tersebut, apakah benar penternak tidak memohon atau dirumitkan dengan masalah birokrasi di peringkat permohonan?
“Namun sebaliknya, ramai penternak kecil dan sederhana yang Pemuda Umno temui mendakwa proses permohonan dirumitkan oleh pihak Jabatan Veterinar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, nilai RM729 juta subsidi itu sememangnya mustahak bagi membantu mengurangkan kos penternakan ayam disebabkan harga dedak dunia seperti soya dan jagung meningkat.
“Jadi, apa jaminan harga ayam di pasaran tidak dinaikkan mendadak oleh pihak kartel yang selama ini memanipulasi harga apabila kos pengeluaran juga diapungkan berasaskan harga pasaran?
“Selain itu, apakah mekanisme sebenar penyaluran subsidi kepada golongan B40 bagi menggantikan subsidi kepada penternak?
“Seharusnya kerajaan mengumumkan mekanisme ini bersekali dengan pengumuman pengapungan,” katanya.
Tambahnya, sekiranya perkara itu berlaku, bagaimana pula nasib golongan M40 yang turut terkesan dengan kenaikan harga ayam kelak.
“Oleh hal demikian, Pemuda Umno tidak mahu masalah penyaluran bantuan sebelum ini seperti BKN,BKC, BPN, BKM berulang lagi, akibat maklumat rakyat yang tidak dikemaskini oleh pihak LHDN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ketiadaan Lembaga Unggas Negara untuk memperhalusi aspek pengeluaran ayam secara holistik turut akan menyebabkan pasaran termasuk bekalan dan harga ayam dengan mudah dimanipulasi oleh kartel ayam.
“Apakah jaminan harga tidak dimanipulasi oleh pihak Kartel yang menguasai bukan sahaja bekalan ayam bahkan harga di peringkat pengeluaran lagi?
“Berikutan itu, adakah pengapungan harga ayam ini merupakan permulaan kepada pemansuhan subsidi barangan keperluan pengguna yang lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa enam persoalan berkenaan perlu ditangani oleh kerajaan secara menyeluruh kerana isu ayam ini merentasi Kementerian bukan sahaja KPDNHEP tetapi juga Kementerian Pertanian.
Malah katanya, Pemuda Umno bimbang jika tiada jawapan dan tindakan tuntas oleh kerajaan, rakyat yang ketika ini sudah mulai rasa keperitan akibat kenaikan harga barangan keperluan lain, pastinya akan terbeban teruk dengan kenaikan harga ayam secara mendadak. – Malaysiapost