Isu Projek 5G dibangkitkan bukan bidang kuasa K-KOM – Annuar Musa

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) akan memanjangkan salinan memorandum berhubung pelaksanaan Projek 5G Kebangsaan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) kepada Kementerian Kewangan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, berkata ia susulan kebanyakan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam memorandum yang diserahkan oleh Pemuda Umno Malaysia kepada timbalannya, Datuk Zahidi Zainal Abidin, semalam bukan di bawah bidang kuasa K-KOMM.

“K-KOMM mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Pemuda Umno berhubung perkara berkenaan.

“Kandungan memorandum tersebut telah segera diteliti dan K-KOMM mengambil maklum mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan iaitu antara lain termasuklah kos sebenar mengikut pecahan tahunan, peralatan dan kos operasi rangkaian 5G negara serta penjelasan terperinci harga jualan secara pukal kepada syarikat telekomunikasi.

“Sehubungan itu, K-KOMM akan membantu memanjangkan salinan memorandum ini kepada Kementerian Kewangan memandangkan kebanyakan perkara-perkara yang terkandung dalam memorandum tersebut bukan di bawah bidang kuasa K-KOMM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya jga akan membantu pihak-pihak yang tidak mempunyai kefahaman jelas berhubung perkara berkaitan dengan mengatur majlis untuk memberikan penjelasan lanjut, terutama bagi perkara yang berkaitan bidang kuasa K-KOM.

“Pada masa ini, DNB adalah syarikat milik penuh kerajaan yang diletakkan di bawah kawalan dan seliaan Kementerian Kewangan.

“Langkah sedang diambil oleh Kementerian Kewangan untuk menyusun semula struktur pemilikan ekuiti syarikat dan kaedah kawal selia syarikat selaras dengan keputusan terbaru Jemaah Menteri mengenai perkara berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights