SIASATAN terperinci dan telus sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah berhubung dakwaan berlaku kecuaian yang mengakibatkan kematian seorang bayi baru dilahirkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas seperti yang tular di media sosial semalam.
Pengarah JKNS, Datuk Dr Rose Nani Mudin, mengesahkan berlaku kes kematian bayi baru dilahirkan di HWKKS yang dilaporkan pada 19 Jun lalu dan siasatan mengenai punca kejadian itu masih dijalankan.
“Terlebih dahulu pihak JKN Sabah ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bayi ini.
“Pihak JKN Sabah mengesahkan insiden itu berlaku di HWKKS pada 19 Jun 2022. Siasatan terperinci dan telus sedang dijalankan oleh pihak jabatan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan ibu kepada bayi berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan sedang diberi rawatan lanjut serta kaunseling oleh pihak hospital pada masa ini.
“Pihak JKN Sabah mengambil perhatian serius mengenai kejadian ini dan sedang menjalankan siasatan terhadap semua maklumbalas yang diterima bagi tujuan menambahbaik mutu perkhidmatan kami,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial semalam, dakwaan kelewatan pihak hospital HWKKS mengendalikan kes seorang wanita yang mahu bersalin hingga bayi dalam kandungan menjadi lemah sebelum dilaporkan meninggal dunia selepas dilahirkan. – Malaysiapost