KERAJAAN mengambil keputusan untuk menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang susulan pemansuhan subsidi harga ayam, telur dan kenaikan harga barang makanan yang lain.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini, kerajaan mengambil keputusan untuk menyediakan bantuan tunai tambahan berkenaan.
Beliau berkata, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.
Perdana Menteri menjelaskan, bantuan tambahan itu akan dimasukkan bersama bayaran BKM Fasa 2, sekali gus menjadikannya RM500.
“Setakat ini, seramai 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 pada tahun 2022. Bantuan ini merupakan yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana Kerajaan.
“Bayaran Fasa 2 BKM melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion dan setiap penerima BKM menerima sehingga RM400 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.
“Setiap penerima BKM bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing. Bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Perdana Menteri berkata, setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun 2022 yang melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion. -Malaysiapost