AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman melahirkan rasa sedih, kecewa dan marah kerana ibu bapanya diheret dalam kes mahkamah dihadapinya.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu turut melahirkan rasa bersalah kepada kedua ibu bapanya yang diheret ke mahkamah kerana dakwanya akibat keengganannya untuk melompat parti dan menyokong kerajaan.
“Hari ini (semalam) mahkamah mendengar sendiri kenyataan dari Mama. Mama disiasat SPRM dari 9 pagi sampai 8.30 malam, banyak kali.
“Mama saya disoal tentang transaksi kecil dari tahun 2016 yang tidak kena mengena dengan kes. Waktu tu saya belajar lagi di UIA.
“Mama mengajar di pusat tuisyen pun dikatakan salah dan boleh hilang pencen. Mama kena tekanan sampai doktor sahkan Mama menghidap semula kanser,” kata Syed Saddiq menerusi hantaran di Facebooknya.
Kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu, paling menyedihkan dakwanya, ibunya disuruh menasihatkannya supaya lompat parti dan menyokong kerajaan supaya siasatan ke atas kedua-duanya dihentikan.
“Bukan mudah apabila terpaksa meletakkan Mama dalam situasi begini. Waktu mula-mula Mama disoal siasat di SPRM, saya rasa sangat bersalah.
“Tetapi Mama lah yang pesan supaya saya jangan takut dan berani kerana benar. Terima kasih buat Mama kerana sentiasa faham dengan prinsip saya,” katanya.
Semalam, bapa dan ibu Syed Saddiq mendedahkan anak mereka ditekan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.
Mereka berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes Syed Saddiq berhubung dakwaan penyelewengan dan pengubahan wang haram lebih RM1 juta dana daripada Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Syed Abdul Rahman Alsagoff memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai tekanan yang didakwa diterima anaknya, lapor Malaysiakini.
“Sejujurnya saya katakan bahawa sokongan kepada Muhyiddin ketika itu adalah tipis (pada 2020) dan sudah pasti anak saya akan dianiaya kerana politiknya tidak sehaluan dengan Tan Sri (Muhyiddin).
“Saya tahu anak saya tegas dan berintegriti tinggi dan saya menasihatkan dia untuk terus maju dan mengekalkan pendirian yang kukuh dan jujur,” katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela, Gobind Singh Deo.
Sementara, ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz pula mendakwa pegawai SPRM yang menyoalnya sebagai sebahagian daripada penyiasatan terhadap anaknya, telah ‘menasihatkan secara berseloroh’ supaya menasihatkan anaknya menyokong kerajaan PN ketika itu pada 2020.
“Sebagai seorang ibu, hati saya tersentap apabila pegawai (SPRM) beritahu saya adalah lebih baik jika saya menasihati anak saya supaya mengikut sahaja kerajaan yang ada sekarang supaya saya dan suami tidak disiasat lagi.
“Sebagai ibu, saya sayangkan anak saya dan tahu pengorbanannya, ia bukan mudah, saya anggap anak saya sudah menjadi mangsa politik,” katanya. – Malaysiapost