SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memberi penjelasan mengapa siasatan berhubung ‘suapan’ yang dibayar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) tertumpu kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semata-mata.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata perkara itu perlu dijelaskan bagi menjaga reputasi SPRM.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun (harus) mengeluarkan kenyataan rasmi untuk memberi penjelasan,” katanya memetik Malaysiakini.
Mohamed Haniff Khatri mengulas laporan portal Free Malaysia Today yang memetik sumber tanpa nama mendakwa SPRM telah menyiasat beberapa individu yang disebut dalam lejar UKSB.
Sumber itu berkata SPRM beberapa tahun lalu telah meneliti beberapa nama disebut dalam lejar yang disimpan oleh bekas pengurus UKSB.
Antara lain, sumber itu mendakwa Khairy Jamaluddin, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anak saudara bekas perdana menteri antara individu yang disiasat, tetapi tiada kes terhadap mereka.
SPRM dikritik kerana didakwa melakukan pendakwaan terpilih selepas beberapa pengarah UKSB memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa mereka membayar Ahmad Zahid dan beberapa tokoh politik lain.
Paling mencuri tumpuan adalah pendedahan bahwa UKSB membayar RM1.3 juta kepada Muhyiddin semasa menjadi Menteri Dalam Negeri pada 2018, yang membawa kepada desakan supaya dia didakwa.
Selepas menerima kritikan, SPRM setuju menjalankan siasatan ke atas semua individu yang dinamakan dalam lejar yang dikatakan disimpan oleh UKSB.
Untuk rekod, Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB supaya kerajaan melanjutkan kontrak kepada syarikat tersebut.
Kontrak itu adalah untuk mengendalikan Pusat Sehenti di China dan sistem Visa Luar Negara (sistem VLN), serta mengekalkan perjanjian untuk membekal peralatan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama.
Ahmad Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika bayaran dibuat antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – Malaysiapost