Khairul Aming bawa 50 staf bercuti di Genting, duduk hotel 5 bintang

PENGASAS produk Sambal Nyet dan cef selebriti, Khairul Aming membawa 50 pekerjanya bercuti empat hari tiga malam di pusat peranginan Genting Highlands dan menginap di hotel lima bintang.

Menerusi video dimuat naik di Instagram, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman berkata percutian itu sebagai penghargaan kepada para pekerja yang sama-sama membantu operasi kilangnya di Kota Bharu.

Khairul Aming berkata, dia berasa teruja membawa pekerjanya bersuka ria di Taman tema Genting Skyworlds, seakan-akan membawa ‘rombangan sekolah’.

Selepas bercuti di Genting Highland, pempengaruh yang mempunyai lebih tiga juta pengikut di Instagram itu membawa ‘rombongan’ bersiar-siar di Kuala Lumpur, seterusnya makan malam di Suria KLCC.

Usaha Khairul Aming menghargai pekerjanya mendapat pujian netizen yang berharap lebih ramai majikan mencontohi sikap pemurah pemuda itu.

“Bestnya dapat bos macam ini. Khairul Aming dan Syahmi Sazli antara bos terbaik idaman semua orang. Harap boleh jadi contoh pada bos-bos di luar sama,” kata Missellykitti.

“Teruskan berbuat baik pada staf anda. Semoga Allah melimpahkan lagi rezeki Khairul Aming,” kata Tiadah9152.

“Please Khairul Aming ada kerja kosong tak? Lepas ini pasti ramai yang nak kerja dengan kamu dan disayangi oleh staf,” kata HanaJaluddin.

Khairul Aming mula dikenali selepas video pendek masakannya mendapat perhatian pengguna media sosial kerana menampilkan menu-menu ringkas tetapi menyelerakan.

Pada Mac lalu, pemuda ini memberitahu penjualan produk sulungnya, Sambal Nyet, berjaya mencecah jualan RM7.5 juta dalam tempoh setahun.

Dia juga mempunyai kilang pengeluaran Sambal Nyet yang berkeluasan 14,000 kaki persegi terletak di Kota Bharu, Kelantan telah siap dan sudah beroperasi sepenuhnya. – Malaysiapost

Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights