Main isu kenaikan barang, contoh politik tidak matang – Shahrir
VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata kurang kematangan dalam politik boleh diukur apabila pihak tertentu menjadikan soal harga barang sebagai bahan kempen.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) kini melakukan propaganda dengan membandingkan harga minyak masak sebelum dan selepas pentadbiran mereka sekali gus contoh politik yang tidak matang.
Jelasnya, semua pihak tahu bahawa dalam keseluruhan sistem ekonomi, bahawa pasaran tidak boleh dikuasai oleh kerajaan kecuali dengan subsidi atau percukaian.
“Walaupun sawit ditanam di negara ini, hasilnya dalam bentuk minyaknya adanya harga pasaran antarabangsa. Harga pasaran ini dipengaruhi pula oleh harga minyak-minyak sayuran yang lain.
“Apabila harga minyak sawit naik tentunya harga minyak masak sawit akan juga naik. Pekebun sawit tidak akan setuju dibayar harga yang rendah dari harga pasaran semata-mata untuk mengurangkan harga minyak masak bagi pengguna, yang termasuk mereka juga,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Shahrir berkata, perbandingan harga minyak sawit (CPO) pada 31 Disember 2018 adalah RM1,794.50 manakala pada 21 Jun tahun ini, ia meningkat empat kali ganda iaitu RM5,223.
“Justeru, harga ini bukan kerana usaha kerajaan ketika itu apatah lagi atas usaha menteri berkenaan.
“Tapi kerana kurangnya kematangan politik, soal harga barang akan pasti dijadikan bahan kempen politik,” katanya. – Malaysiapost