Malaysia Airlines tampil video keselamatan penerbangan kreatif

SYARIKAT penerbangan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) tampil kreatif dengan video keselamatan penerbangan terbaru yang turut menampilkan beberapa artis terkenal tanah air dan ikon negara.

Berdurasi tujuh minit 36 saat, video arahan Puan Sri Tiara Jacquelina bersama Datuk Yusry Abd Halim yang mula dimuat naik di laman Facebook rasmi Malaysia Airlines semalam, setakat ini mendapat 41,000 tontonan dan 2,000 tanda suka.

“Inilah dia! Kami teruja untuk berkongsi dengan anda video keselamatan terbaru kami, yang dihasilkan dengan kerjasama Enfiniti untuk meraikan seni persembahan Malaysia.

“Menyanyi dan menari bersama sambil kami membawa anda melalui lapan prosedur keselamatan penting di atas pesawat. Lihat jika anda boleh mengesan beberapa artis kegemaran Malaysia dan ikon negara juga!,” menurut perkongsian itu.

Malaysia Airlines turut memaklumkan, penumpang yang menaiki penerbangannya akan dapat menonton versi pendek video berkenaan mulai Ogos ini.

Antara ikon negara yang membuat penampilan dalam video keselamatan penerbangan itu adalah Pro Canselor Universiti Heriot-Watt Malaysia (HWUM), Tan Sri Dr Jemilah Mahmood; tokoh astrofizik, Tan Sri Mazlan Othman; ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi; dan Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong.

Tiara Jacquelina serta Yusry dan isteri Datin Lisa Surihani turut membuat penampilan istimewa dalam video berkenaan selain penyanyi lagu parodi My Sejahtera Way, Azman Naim serta pramugari dan pramugara Malaysia Airlines – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights