SEORANG wanita yang berada dalam keadaan tertekan, berjaya diselamatkan oleh pasukan polis dan bomba selepas wanita terbabit didapati berada dalam keadaan cemas dan mengurung diri dalam kereta di kawasan kebun getah di Karak, Bentong.
Dalam satu perkongsian di laman Facebook Polis Bentong, kejadian dilaporkan berlaku pagi semalam apabila sepasukan polis dari Balai Polis Karak, menerima maklumat orang awam memaklumkan sebuah kereta sesat masuk ke kawasan kebun getah.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Karak, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong diketuai Sarjan Zachary Adams Singkin, Koperal Norsiah Mahammud, Koperal Kamarullzaman Shafi’e, Koperal Muhamad Hafiz Mohd Hasan dan Konstabel Alif Ikbar Abdul Rashid telah ke lokasi lebih kurang jam 7.10 pagi.
“Setelah sampai di lokasi, didapati seorang wanita warganegara tempatan berusia 33 tahun dalam keadaan cemas berada di dalam kereta dan tidak mahu membuka pintu kereta,” menurut perkongsian itu.
Menurutnya, polis kemudian menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan bagi membuka kereta berkenaan.
“Setelah pihak bomba berjaya membuka pintu kereta mangsa terus memeluk anggota Balai Polis Karak Koperal Norsiah sambil menangis teresak-esak.
“Mangsa memaklumkan baru keluar wad dan dalam keadaan tertekan. Seterusnya mangsa dibawa ke Balai Polis Karak,” katanya.
Anggota Balai Polis Karak kemudian turut menghubungi keluarga mangsa untuk datang ke Balai Polis Karak dan membawa mangsa pulang. – Malaysiapost