Premis judi tular diserbu polis

SEBUAH premis yang disyaki menjalankan perjudian dalam talian diserbu polis, susulan tular klip video di media sosial baru-baru ini. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya mengesan klip video berdurasi sembilan saat dan dua keping gambar berkenaan aktiviti perjudian dalam talian dipercayai berlaku di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur menerusi Facebook, malam semalam.

Jelasnya, turut dinyatakan alamat sebuah premis di Seksyen 7, Putra Heights di sini yang dikatakan menjalankan aktiviti sama.

“Susulan video tular berkenaan, sepasukan polis Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya membuat pemantauan khas di alamat berkenaan.

“Hasil pemantauan selama beberapa jam tidak mendapati sebarang pergerakan keluar masuk ke dalam premis. 

“Seterusnya, serbuan dijalankan dan polis merampas sebanyak lapan komputer dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian dalam talian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abd Khalid berkata, polis turut menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementara itu, Abd Khalid berkata, berdasarkan rekod bagi tempoh Januari 2021 sehingga Mei tahun ini, sebanyak 191 serbuan dijalankan dengan 458 orang ditahan, manakala 924 mesin judi pelbagai jenis dan wang tunai berjumlah RM31,486 dirampas.

Tambahnya, polis memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terbabit aktiviti perjudian serta menasihatkan orang ramai supaya tidak terkait kegiatan itu.

“Pihak kami turut mengalu-alukan masyarakat untuk bersama-sama membanteras aktiviti itu dengan menyalurkan maklumat menerusi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-70627100 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights