MAJLIS Perbandaran Taiping (MPT) bertindak menjalankan kerja-kerja pembersihan di sebuah premis kediaman di Taman Tupai Mas, Taiping susulan tular aduan mengenai rumah berkenaan dipenuhi sampah sarap baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, MPT memaklumkan kerja-kerja pembersihan itu dilakukan semalam.
Menurut MPT, kerja-kerja pembersihan bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir jam 11 pagi dibantu dengan sebuah jentolak serta tiga lori dan sebuah traktor yang digunakan untuk membersihkan longgokan sampah dari premis tersebut.
Pemilik premis berkenaan merupakan seorang lelaki warga emas yang tinggal seorang diri.
“MPT mengingatkan masyarakat tidak mengumpul sampah sarap meskipun dalam kawasan rumah.
“Longgokan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran MPT biarpun masih dalam kawasan rumah boleh dianggap sebagai kesalahan berkaitan kacau ganggu,” menurut kenyataan itu.
MPT juga mengingatkan, individu yang sengaja berbuat demikian boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 75 (1) dan (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan sekiranya disabitkan kesalahan didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu pada 19 Jun lalu, seorang pengguna Facebook, Luluy Ng, memuat naik beberapa gambar keadaan rumah berkenaan yang dipenuhi timbunan sampah sarap.
“11, Jalan TM 1/18, Taman Tupai Mas, 34000 Taiping, Perak. Rumah ini sangat kotor dan busuk sehingga semua jiran tidak dapat tahan, lagi ada banyak ulat,nyamuk dan serangga, tetapi dia masih tidak mahu membersihkannya, harap pihak berkenan dapat mengambil tindakan supaya mengembalikan kesejahteraan hidup dan menjamin keselamatan kita,” tulisnya.
Perkongsian itu kemudian tular dan mendapat perhatian netizennetizen yang mahu pihak berkuasa segera mengambil tindakan. – Malaysiapost