Tahanan cuba gantung diri, mati di hospital
SEORANG tahanan Lokap Berpusat Shah Alam dilaporkan menimggal dunia ketika dirawat di Hospital Shah Alam pada 20 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditangkap dan ditahan di lokap berkenaan pada 15 Jun lalu.
Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Orang Kena Tahan (OKT) berkenaan cuba menggangtung diri di lokap berpusat terbabit dan telah diselamatkan serta dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan.
“OKT dirawat di hospital terbabit mulai 15 Jun. Namun, pada 20 Jun lalu jam 5.40 petang, Pegawai Perubatan mengesahkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia di hospital tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, punca kematian tahanan berkenaan belum diketahui dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berkaitan kes ini,” katanya. – Malaysiapost