Tarif elektrik: Kerajaan wajar pertimbang pakej bantuan khusus
TARIF elektrik jika dinaikkan, akan lebih membebankan lagi rakyat dan kos sara hidup akan terus meningkat, kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut berkata sekarang bukanlah waktu sesuai untuk rakyat menanggung sepenuhnya kenaikan kos sara hidup tanpa sebarang bantuan terus dari kerajaan.
Menurutnya, kerajaan seharusnya bersungguh-sungguh membantu rakyat dengan mengumumkan satu pakej bantuan ekonomi yang menyeluruh bagi menampung kenaikan kos sara hidup, seperti yang baharu sahaja diumumkan Singapura.
“Sebanyak $1.5 bilion telah diumumkan pemerintah Singapura, termasuklah $100 pemberian kredit utiliti bagi setiap isi rumah.
“Tindakan yang hampir malah lebih baik wajar dilaksanakan oleh Malaysia, dengan memberikan rebat elektrik dan air, baucar makanan asas kepada isi rumah yang layak serta bantuan-bantuan lain yang wajar kepada sektor swasta.
Memandangkan keadaan fiskal negara terhad, maka penggunaan teknologi dan pengagihan bantuan bersasar berdasarkan data yang tepat amatlah diperlukan.
“Ini bagi memastikan bantuan yang disalurkan tidak terjatuh ke tangan yang salah atau kurang layak,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau mengulas laporan media menyatakan kenaikan tarif elektrik tidak dapat dielak kerana kos penjanaan elektrik meningkat mendadak dan pantas.
Namun ahli ekonomi menyatakan keperluan golongan tertentu harus dipertimbangkan.
Kenaikan tarif tidak dapat dielakkan disebabkan oleh permintaan tenaga melonjak, gangguan bekalan bahan api serta kekurangan minyak, gas dan arang batu yang semakin meningkat di peringkat global telah menyebabkan harga tenaga global melambung tinggi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mencadangkan agar Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat sekali lagi dengan segera agar pandangan setiap NGO, pemain industri dan sektor swasta berkepentingan dapat diambil kira dan dipertimbangkan.
Katanya, beliau pernah menyuarakan keperluan NACCOL untuk ditambahbaik keberkesanannya. – Malaysiapost
“Pakej Bantuan khusus bagi menampung kenaikan inflasi atau kos sara hidup ini boleh dilakanakan sebelum pembentangan Belanjawan 2023 kerana ia begitu mustahak dan dan kritikal,” katanya. – Malaysiapost