Teksi air atasi kesesakan di Pulau Pinang

MEMPERKENALKAN perkhidmatan teksi air atau Teksi Air Pulau Pinang antara usaha menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas serius di Pulau Pinang, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Katanya, pelaksanaan teksi air bukan sahaja memberi pilihan pengangkutan awam tambahan kepada penduduk dan pelancong, malah mewujudkan peluang pekerjaan selain menambah pendapatan nelayan khususnya pada musim tengkujuh.

“Memandangkan Pulau Pinang kini antara pelabuhan utama di negara ini, maka ketersambungan dan kemudahan perkhidmatan pengangkutan sektor maritim ini juga perlu diambil kira bagi memastikan ia dapat memainkan peranannya yang besar dan penting.

“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menyerahkan pelan tersebut kepada Kementerian Pengangkutan (MOT), dan pegawai MOT di jabatan berkaitan akan segera laksana tindakan susulan sewajarnya,” katanya dalam hantaran Facebook.

Terdahulu beliau menerima kunjungan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Ar Yew Tung Seang, di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Ka Siong berkata, MBPP kini giat mempromosi pembangunan hijau dan mampan.

Katanya, selain itu, langkah seterusnya adalah bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan menerusi Pelan Tindakan Teknologi Hijau Malaysia

“Pembangunan EV (hijau dan mampan) adalah bahagian yang penting di bawah pelan tindakan tersebut.

“Pada masa ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan EV persiaran di kawasan bersejarah untuk kemudahan pelancong dan pada masa yang sama dapat mengurangkan masalah tempat letak kereta serta masalah kesesakan lalu lintas,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ka Siong berkata MBPP memohon MOT menggunakan EV persiaran atas jalan raya di kawasan tertentu, memandangkan jalan-jalan utama di Pulau Pinang kini semakin sempit dan padat terutamanya pada musim cuti.

Ujarnya, MBPP juga memohon agar kemudahan stesen pengecasan kenderaan EV ditambah bagi mengelak kesesakan.

“MOT mengambil serius cadangan tersebut, terutamanya apabila ia melibatkan peraturan dan keselamatan jalan raya” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights