Timbalan Speaker kecewa penerbangan ditunda

ISU membabitkan perkhidmatan sebuah syarikat penerbangan masih belum tidak dapat diselesaikan terutama kelewatan dan penundaan jadual penerbangan hingga mendatangkan masalah serta kerugian kepada penggunanya.

Terbaru, keadaan itu dialami oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang berkongsi mengenainya di laman Twitter.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu, mengalami pengalaman berkenaan bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang yang dijadualkan Isnin lalu.

“Malam tadi, dua kali flight @airasia saya delay. Akhirnya saya ambil keputusan tak naik.

“Bazir masa, bazir wang ringgit. Aduh, kenapalah AirAsia macam ni,” katanya dalam satu ciapan semalam.

Beliau turut memuat naik notis pemberitahuan daripada syarikat penerbangan terbabit mengenai penangguhan jadual penerbangannya.

Sebelum ini dilaporkan ramai pengguna mengadu mengenai isu dialami membabitkan syarikat penerbangan antaranya mengenai isu harga tambang yang melampau, kelewatan dan penundaan jadual penerbangan.

Susulan itu Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengarahkan syarikat penerbangan untuk memantau dengan lebih baik isu teknikal.

Menterinya Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, berkata syarikat penerbangan perlu memantau isu berkaitan perkhidmatan penerbangan dan menyampaikan maklumat kepada penumpang bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi.

Beliau berkata, kebanyakan aduan diterima berkait dengan trafik penumpang yang lebih tinggi daripada biasa semasa musim perayaan sehinggakan syarikat penerbangan terpaksa menggunakan sepenuhnya pesawat untuk memenuhi permintaan.

Menurutnya, MOT dan agensi di bawahnya akan terus memantau setiap perkhidmatan penerbangan untuk memastikan prosedur penyelenggaraan dan isu teknikal dipatuhi tanpa kompromi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights