KEUNTUNGAN bersih Astro Malaysia Holdings Bhd bagi suku pertama berakhir 30 April 2022, menurun kepada RM100.02 juta daripada RM141.25 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.
Pendapatan susut kepada RM962.09 juta daripada RM1.06 bilion sebelum itu, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia berkata pendapatan yang rendah disebabkan terutamanya oleh penurunan hasil langganan dan jualan barangan, diimbangi peningkatan hasil dalam pengiklanan.
Melangkah ke hadapan, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Henry Tan berkata kumpulan akan terus melabur dalam pelan transformasinya, khususnya kandungan, jalur lebar, penstriman, pengalaman pelanggan, data, pengiklanan bersasar dan infrastruktur teknologi bagi memudahkan prosesnya dan paling penting, memberi layanan yang lebih baik kepada pelanggan.
“Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022, diwartakan pada Februari 2022, merupakan langkah yang besar untuk ke hadapan dalam menangani cetak rompak digital, yang mengakibatkan jenayah penjualan peranti penstriman haram (ISD),
“..dan pengedaran atau perkongsian kandungan hak cipta yang tidak dibenarkan melalui aplikasi, laman sesawang, dan hiperpautan oleh mana-mana pihak menerusi aplikasi pemesejan atau platform media sosial,” katanya seperti dilapor Berita Harian yang memetik Bernama.
Sementara itu, Astro mengumumkan Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas dalam lembaga pengarah akan menggantikan Tun Zaki Tun Azmi sebagai Pengerusi Astro yang baharu berkuat kuasa 23 Jun 2022.
Pada masa ini, beliau juga Pengerusi Bumi Armada Bhd dan Taliworks Corporation Bhd dan juga menganggotai lembaga pengarah Bangkok Bank Bhd dan Sun Life Malaysia Assurance Bhd. – Malaysiapost