Wanita bergaduh tikam guna kunci didenda RM900

Wanita bergaduh tikam guna kunci didenda RM900

PENJAJA alat mainan didenda RM900 oleh Mahkamah Majistret, di Sungai Petani hari ini kerana menyebabkan kecederaan terhadap remaja perempuan di Pantai Merdeka, Ahad lalu.

Majistret Nadhirah Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Zulaikha Zolkifli, 23, yang mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

Sekiranya gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama dua bulan, lapor Harian Metro.

Tertuduh didapati menyebabkan kecederaan dengan sengaja kepada Nurul Najihah Azizan, 19, pada jam 6.22 petang di Pantai Merdeka 19 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian Ahad lalu, tertuduh menyerang Nurul Najihah yang ketika itu dalam perjalanan menuju gerai menjual mainan milik kakaknya.

Berlaku pergelutan antara mereka sebelum ia dileraikan seorang lelaki dan kejadian menyebabkan mangsa mengalami kecederaan kening kanan selepas dikatakan ditikam kunci kereta sehingga terpaksa menerima enam jahitan.

Rakaman video pergaduhan itu turut tular di media sosial dan tertuduh berjaya ditahan pada hari sama selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit. – Malaysiapost

Komen