Yasin ucap takziah kepada keluarga Mujahid, Adibah Noor

Yasin ucap takziah kepada keluarga Mujahid, Adibah Noor

PENYANYI dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman sempat merakamkan ucapan takziah terhadap kematian Allahyarham Adibah Noor dan kawan baiknya, Mujahid Abdul Wahab sebelum memasuki bilik Mahkamah Majistret 3, Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, hari ini.

“Mujahid Abdul Wahad dan Adibah Noor, innalillahwainalillahirajiun,” katanya.

Allahyarham Adibah Noor Mohamed Omar, 51, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di ibu negara, kira-kira jam 7.30 malam Sabtu lalu akibat kanser ovari tahap empat.

Jenazahnya kemudian dimandi dan dikafan di Masjid Al-Ansar Taman Keramat, kira-kira jam 9.20 pagi Ahad dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Yasin yang berbaju kemeja hitam dan berseluar putih, diiringi seorang anggota bersama beberapa ahli keluarganya bagi menghadiri sebutan semula kes yang ditetapkan hari ini.

Pada 31 Mac lalu, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis (ganja) yang diperoleh secara terus atau tidak langsung.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara jam 5.30 petang pada 24 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Selain itu, Yasin turut didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis sama.

Mengikut pertuduhan, penyanyi Mimpi Laila itu didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan. – Malaysiapos

Kunjungi bahagian Hiburan untuk baca cerita yang terkini dan menarik

Komen