Agong ucap tahniah  atas kejayaan pelancaran Satelit MEASAT-3d

YANG di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilal Shah menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada kerajaan Malaysia serta pengendali satelit utama negara, Measat Global Berhad (MEASAT), atas kejayaan pelancaran Satelit MEASAT-3d pada awal pagi tadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dengan kejayaan itu kerana ianya amat bermakna khususnya buat rakyat Malaysia apabila rakyat dapat menikmati internet berkelajuan tinggi tidak kira di kawasan bandar dan pinggir bandar atau pedalaman di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerusi perkhidmatan jalur lebar satelit.

“Seri Paduka Baginda bertitah ianya juga selaras dengan inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam usaha merapatkan jurang ketersambungan digital dan mewujudkan masyarakat inklusif digital tanoa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan akses internet yang stabil dan pantas, rakyat Malaysia akan memperoleh pelbagai manfaat sosioekonomi seperti penyertaan dalam aktiviti e-Dagang dan pembelajaran digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu  pelancaran Satelit MEASAT-3d berjaya dilakukan di European Spaceport di Kourou, French Guiana pada jam 5.50 pagi tadi waktu Malaysia dan turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melalui siaran langsung yang dipancarkan dari Kourou, French Guiana.

Ismail Sabri berkata, dengan pelancaran Satelit Measat-3d, keupayaan capaian Internet di kawasan bandar dan sub-luar bandar akan lebih ditingkatkan di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights