Anwar bawa isu Orang Asli ke Parlimen

Anwar bawa isu Orang Asli ke Parlimen

KEHIDUPAN masyarakat Orang Asli dilaporkan semakin terhimpit terutamanya melibatkan isu tanah, pembalakan dan pendidikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu didedahkan Anwar selepas menerima kunjungan Delegasi Komuniti Orang-Orang Asli  di pejabatnya, hari ini.

“Hari ini saya menerima kunjungan delegasi komuniti Orang-orang Asli antaranya dari Bera, Gua Musang, Gerik, Tapah, Tanjung Malim dan juga Hulu Selangor.

“Turut bersama dalam pertemuan ini adalah saudara Bob Manolan yang juga mantan Senator mewakili Komuniti dan Hal Ehwal Orang Asli.

“Mereka meluahkan masalah yang dihadapi saban tahun, terutamanya isu tanah, hak dan kualiti pendidikan serta masalah pembangunan dan pembalakan yang menghimpit kehidupan di kampung-kampung yang didiami sejak sekian lama,” katanya menerusi Facebook. 

Menjelaskan mengenainya, Anwar berkata, pertemuan itu juga turut menyentuh secara mendalam masalah yang etnik berkenaan dengan kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) 

“Masalah yang dihadapi bersama kerajaan-kerajaan negeri dan juga JAKOA turut disentuh secara mendalam. 

“Setelah lebih 60 tahun Merdeka, masalah-masalah asas yang merundung mereka terus dipinggirkan meski mereka juga adalah rakyat Malaysia seperti kaum-kaum lain di negara ini,” katanya. 

Sehubungan itu, Anwar berkata, beliau akan meneliti  beberapa memorandum yang diterima itu sebelum membawanya ke perhatian Dewan Rakyat pada sidang akan datang. – Malaysiapost

Komen