Bad Indigo, Ashira umum bercerai

PASANGAN selebriti, Badrul Izhan Yeop Abdullah atau Bad Indigo dan isteri, Ashira Aziz sah bercerai.

Perkara itu diumumkan pasangan suami isteri itu menerusi video berdurasi kira-kira dua minit di Instagram, petang tadi.

Bagaimanapun, Bad atau nama sebenar, Badrul Izhan Yeop Abdullah, 47, tidak berkongsi butirannya.

“Atas persetujuan bersama, kami telah sah berpisah. Tapi tetap berkawan kerana kami mahu bersahabat sampai bila-bila.

“Kami nak beritahu, sebab banyak cerita-cerita yang tak betul. Kami tetap baik, tak ada masalah. Yang penting tak ada orang ketiga, keempat,” katanya.

Bad berkata, mereka berdua terpaksa merahsiakan punca perceraian serta berazam akan menjadi sahabat selamanya.

“Sebab kami tak boleh cerita. Apa-apa yang berlaku dalam perkahwinan adalah aib. Yang mendedahkan adalah dosa. Hanya Allah sahaja yang tahu,” katanya.

Tambah Bad, perpisahan mereka bukanlah disebabkan kehadiran insan ketiga dan lebih selesa untuk tidak berkongsi punca perceraian.

“Kami tetap baik, tiada masalah antara kami. Saya tetap sayang dia.

“Sebenarnya, apa sebab semua ini (berlaku), tak boleh cerita. Sebab apa-apa yang berlaku dalam perkahwinan adalah aib. Mendedahkan aib walaupun aib sendiri adalah dosa. Jadi, hanya Allah yang tahu,” katanya.

Sementara itu, Ashira atau nama sebenar, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 37, berharap hantaran video itu menjawab persoalan mengenai hubungan rumah tangga mereka.

“Kami nak beritahu dululah sebelum keluar daripada mulut orang lain sebab banyak sangat cerita di luar yang tak betul. Jadi, harap video ini jelaslah untuk semua orang.

“Hendak minta maaf kalau ada kawan-kawan wartawan yang nak hubungi, tak perlu. Hendak tanya kenapa, apa punca dan bila, itu biarlah saya, dia, keluarga dan yang di atas (Allah) sahaja yang tahu.

“Harap jelas dan tiada lagi pertanyaan mengapa saya dan Bad sudah lama tidak nampak.Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kami selama ini,” katanya.

Bad dan Ashira berumah tangga pada 11 Mac tahun lalu selepas bertemu ketika menyertai musim ketujuh program realiti, Gegar Vaganza (GV7). – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights