SAKSI pendakwaan, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dalam keterangan memaklumkan Lim Guan Eng tersenyum apabila Pengarah Eksekutif Kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd menyerahkan wang rasuah RM100,000 kepadanya yang ketika itu adalah Ketua Menteri Pulau Pinang pada 2013.
Saksi pendakwaan ke-23 itu mendakwa tertuduh juga kelihatan gembira apabila beliau menerima RM100,000 lagi sebagai rasuah pada 2014, lapor MalaysiaKini.
Zarul Ahmad memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah hari ini terhadap Guan Eng yang juga adalah bekas Menteri Kewangan berhubung projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.
Semasa pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi itu mendakwa bayaran berkenaan dikaitkan dengan Guan Eng yang kononnya meminta keuntungan 10 peratus sebagai balasan projek tersebut dianugerahkan kepada syarikatnya itu secara rundingan terus.
Zarul Ahmad yang adalah eksekutif di Zenith mendakwa kedua-dua sogokan itu itu dilakukan dengan dirinya menyerahkan wang berkenaan dalam sampul yang tertutup kepada Lim di pejabat Ketua Menteri di Komtar, Georgetown, Pulau Pinang.
Semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 17 Disember tahun lalu, Zarul Ahmad memberi keterangan dia ‘terkejut’ apabila Guan Eng didakwa meminta 10 peratus keuntungan masa depan daripada projek itu.
Saksi itu mendakwa tertuduh meminta wang tersebut daripadanya ketika mereka berdua berada di dalam sebuah kereta di Kuala Lumpur pada malam Mac 2011. – Malaysiapost