SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin diingatkan jangan terlalu angkuh dan lupa pada sejarah.
Peringatan itu disuarakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Armand Azha Abu Haniffah yang berkata, Hamzah jangan terlalu yakin menidakkan kebangkitan serta kekuatan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam arus politik negara.
“Saya nak ingatkan beliau dan mengenali sejarah. PRU14 lepas Umno BN menang dua negeri iaitu Pahang dan Perlis.
“Dan ingatkan kepada beliau yang menang kerusi Parlimen Larut atas kerusi Umno dan BN. Cuma nak ingatkan beliau, takut beliau terlupa.
“Tapi nak ingatkan sejarah tak boleh kita lupa dan kena ingat untuk masa hadapan,” katanya dalam klip video di laman TikTok.
Armand Azha yang juga Ahli Dewan Negara berkata, Hamzah perlu menilai berdasar fakta dan tidak mengikut emosi menilai Umno dan BN yang kembali meraih kepercayaan rakyat seperti dibuktikan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.
“Dalam masa tak sampai pun sepenggal daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH), kemudian kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kini kerajaan Keluarga Malaysia, kita tengok Umno kembali kuat atau tidak kita tengok fakta, bukannya emosi seperti beliau dalam kenyataan wawancara bersama Malaysiakini.
“Daripada dua negeri, dengar tak Datuk Seri Hamzah, hari ini Johor dah menjadi negeri BN dah tiga. Kemudian Melaka dah empat. Dan ada juga beberapa negeri yang BN bekerjasama dan sebagainya,” katanya.
Paling penting, Armand berkata, Umno dan BN telah memenangi beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan PRN sekali gus masih relevan dan menjadi pilihan rakyat
“Berdasarkan fakta, tujuh PRK yang terakhir dimenangi BN. Kita tengok pula Melaka bagaimana angkuhnya, sombongnya mereka akan kekal memerintah, Alhamdulillah berkat sokongan, dokongan Melaka BN menang besar.
“Ini fakta, dan kita apabila bercakap bukan angkuh, bukan emosi dab bukan sombong. Dengar ni Datuk Seri Hamzah,” katanya.
Armand Azha juga menyindir Bersatu dan PN kononnya berpengaruh di Johor sehingga sanggup memberi amaran untuk menekan ‘loceng’ di negeri itu.
“Mereka nak tekan loceng, Akhirnya bila BN tekan loceng apa jadi, Alhamdulillah negeri Johor jadi milik kita.
“Jadi kita nak tengok PRU15 nanti anda kekal berkuasa, terutamanya Menteri Dalam Negeri boleh tak mengekalkan kerusinya di Larut,” katanya. – Malaysiapost