AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegur Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed susulan kenyataan merendah-rendahkan kewibawaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Jelas Annuar, kerajaan pimpinan Ismail Sabri berdepan dengan pelbagai situasi mencabar dalam menguruskan negara dan ia tidak pernah dilalui oleh Perdana Menteri sebelum ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, sepanjang pentadbirannya, Perdana Menteri terpaksa mengendalikan pelbagai isu antaranya mengawal pandemik Covid-19, menguruskan impak kenaikan harga minyak dan menyatukan kerjasama kerajaan dan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU).
“Perkara-perkara ini meletakkan PM Datuk Seri Ismail Sabri dari Umno dalam situasi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana PM lain.
“Jadi tidak wajar penilaian yang merendah-rendahkan PM dari parti sendiri, PM yang ‘diendors’ oleh Umno dan mewakili parti Umno,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Nur Jazlan yang dilaporkan melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada Umno paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.
Dalam pada itu, Annuar berkata, walaupun setiap pihak bebas mengeluarkan pandangan peribadi, Nur Jazlan dilihat mempunyai kekurangan (handicap) dalam membuat penilaian itu.
“Dia bukan seorang yang berada dalam kerajaan jadi banyak benda dia tak tahu, dia bukan seorang yang rapat dengan PM, lagilah banyak dia tak tahu, apatah lagi kalau dia ada niat, lagilah dia terpengaruh dengan kecenderungan politik dia.
“Macam mana ada PM mewakili parti yang hanya ada 38 kerusi dan berhempas pulas dengan Covid-19 serta cabaran ekonomi, sepatutnya kita bantu dan bersimpati tetapi sebaliknya ada yang buat tuduhan tidak berasas,” katanya.
Annuar turut mempersoalkan tindakan ahli Umno yang cuba melemahkan pemimpin daripada parti sendiri sedangkan ada pihak lain yang memberi sokongan kepada kepimpinan perdana menteri.
Baru-baru ini, Nur Jazlan mendakwa kelewatan membuat keputusan mengenai jawatan Datuk Zuraida Kamaruddin dalam kabinet menunjukkan kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang lemah.
Nur Jazlan juga mendakwa tidak pernah ada seorang Perdana Menteri dari Umno yang selemah Ismail Sabri dalam sejarah negara. – Malaysiapost