TINDAKAN seorang jemaah dewasa memarahi sekumpulan kanak-kanak yang berada di saf belakang sebuah masjid ketika ingin menunaikan solat secara berjemaah mendapat reaksi pelbagai pihak.
Berdasarkan video dimuat naik di Facebook milik Shahrul Hisham memaparkan pada mulanya sekumpulan kanak-kanak itu dilihat bergurau sesama mereka ketika jemaah baharu mula menunaikan solat.
Menerusi video berdurasi 27 saat itu kelihatan seorang jemaah dewasa bertindak keluar daripada saf dan memarahi serta menolak sehingga beberapa kanak-kanak itu jatuh ke lantai masjid.
Bagaimanapun, pemilik akaun Facebook itu tidak menyatakan lokasi masjid berkenaan.
Rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan tindakan jemaah itu yang berkasar dengan kanak-kanak apatah lagi ketika ingin menunaikan solat berjemaah.
Menurut netizen, kanak-kanak membuat bising adalah situasi biasa memandangkan mereka baru mahu mengenal erti solat secara berjemaah.
“Akan datang makin susah nak tengok budak-budak datang masjid. Bila mereka datang asyik kena marah dengan orang tua. Akhirnya tinggal orang tua je dalam tu,” kata Iman Hidayah.
“Sombongnya pakcik ni, dia tak pernah muda ke? Kan dah ada tulis biasakan bawa kanak-kanak ke masjid dan surau. Akan jadi kebiasaan golongan muda imarahkan masjid,” ujar Hasni Farina.
Dalam masa sama, ada beberapa netizen mengimbau pernah mengalami situasi sama ketika zaman kanak-kanak dimarahi ketika ingin solat berjemaah.
“Selalu geng berlagak ahli syurga macam buat macam ni. Aku pernah kena. Budak lain buat bising aku yang kena baling sejadah kat muka. Ini sebabnya anak muda, budak-budak kurang ke masjid,” kata Khairul Safuan.
“Sejarah hitam bagi aku masa kecil. Ada ke dia tampar aku.. aku ingat sampai besar. Panjang umur pakcik tu, aku jumpa dia semula. Rupanya sikap bengis masih tak berubah,” kata Muhammad Umar. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik