‘Kalau betul nak songlap, masa jadi Menteri KBS lagi saya dah songlap’

“KALAU betul saya nak songlap (curi) duit, lebih banyak peluang lagi saya nak songlap duit dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masa saya jadi Menteri,” kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu juga menegaskan beliau adalah seorang individu yang tidak akan berselindung atau menyorokkan apa-apa perkara, selain yakin berada di pihak yang benar.

“Tapi sampai hari ini tak ada satu pun pendakwaan berkenaan dengan KBS. Sampai ada pihak yang kata nak siasat masa saya jadi Menteri KBS.

“Apa yang dia jumpa? ‘Nothing’. Ada juga kata saya yang sengaja libatkan ibu bapa saya. Dituduh dan dilabel korup.

“Disiasat oleh SPRM bila tak beri sokongan pihak tertentu. Ibu bapa, keluarga dan kawan semua ditekan,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Syed Saddiq lagi, beliau tidak akan berundur serta mengalah dan berani untuk terus melawan di mahkamah.

“Masa kecurian berlaku, saya yang telefon polis minta datang ke rumah. Saya juga yang suruh polis bawa pakar forensik.

“Saya mintak tolong carikan siapa yang bertanggungjawab. Kalau takut kena tangkap, takkan saya panggil polis?,” katanya.

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkata, tidak ada apa yang perlu beliau takutkan kerana yakin berada di pihak benar.

“Memang takda apa pun yang saya nak takut. Saya yang pertama ‘declare’ aset masa dalam Kabinet.

“Takda apa yang nak disorok. ‘I am an open Book’. Saya tidak akan undur. Saya tidak akan mengalah. Biar mahkamah tentukan, saya berani, saya yakin dan saya akan lawan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Syed Saddiq berdepan beberapa pertuduhan termasuk bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq juga didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights