Lantik Menteri dari Umno ganti Zuraida – Mohd Puad

Lantik Menteri dari Umno ganti Zuraida – Mohd Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantik menteri dari Umno bagi menggantikan tempat Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit,dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, berkata tindakan itu adalah lebih baik dalam usaha menstabilkan Kabinet Kerajaan sedia ada.

Mohd Puad turut, menyifatkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tidak malu apabila menuntut kuota Menteri untuk partinya bagi menggantikan tempat Zuraida yang telah keluar dari Bersatu.

Beliau mendakwa ketika menjadi Perdana Menteri, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu melantik anggota Kabinet tanpa mempedulikan hiraki dalam Umno sehingga yang tidak berjawatan dalam MKT Umno pun dapat jawatan Menteri.

“Umno digambarkan tamak dan pentingkan jawatan dan tidak prihatin rakyat yang ketika itu berhadapan dengan ancaman Covid-19. Sekarang apa jadi?

“Kenapa terhegeh hegeh, hidung tak mancung, pipi tersorong sorong mahu jumpa Perdana Menteri untuk menuntut kerusi Menteri yang dikosongkan oleh Zuraida.

“Sekarang tidak nampakkah rakyat juga susah dan kerajaan sibuk memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat. Lebih baik Perdana Menteri lantik Menteri dari Umno untuk stabilkan Kabinet Kerajaan sedia ada,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sejak Zuraida mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), kedudukannya dalam kabinet sehingga kini menjadi persoalan.

Zuraida bagaimanapun dilaporkan masih berharap untuk kekal sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Sementara itu, Muhyiddin dalam satu sidang media kelmarin menegaskan Perdana Menteri berhak mengekalkan Zuraida sebagai menteri, asalkan kuota menteri untuk Bersatu dikekalkan.

Beliau turut mencadangkan satu kementerian baharu diwujudkan untuk Zuraida. – Malaysiapost

Komen