Malayan Tigress kecundang di Dhaka

Malayan Tigress kecundang di Dhaka

PASUKAN bola sepak wanita negara kecundang 6-0 dalam aksi persahabatan menentang Bangladesh di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mostafa Kamal, Dhaka, Bangladesh.

Empat daripada enam gol Bangladesh dihasilkan pada babak separuh masa pertama. Malah gol sulung pasukan tuan rumah dituai seawal minit kesembilan melalui jaringan Mossamat Akhi Khatun.

Tuan rumah terus mengasak apabila Sabina Khatun berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-25 sebelum Mossamat Akhi Khatun menambah gol peribadi keduanya dan gol ketiga Bangladesh – pada minit ke-29.

Mossamat Sirat Jahan menambahkan parah dengan jaringan gol keempat kira-kira seminit sebelum pengadil meniup wisel menamatkan separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua Monika Chakma dan Srimoti Krishnarani melengkapkan jaringan enam gol Bangladesh dengan masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-66 dan ke-73.

Perlawanan persahabatan tingkat satu ini adalah ‘pemanas badan’ untuk pasukan berkenaan menghadapi kejohanan AFF Wanita 2022 yang dijadual berlangsung di Manila bulan depan.

Skuad berkenaan akan memulakan kempen AFF di Manila menentang Singapura pada 4 Julai, Indonesia (6 Julai); Filipina (8 Julai); Thailand (10 Julai) dan Australia (12 Julai) manakala aksi separuh akhir dijadualkan pada 15 Julai dan diikuti final pada 17 Julai ini. – Malaysiapost

Komen