SATELIT terbaru MEASAT-3d berjaya dilancarkan di Kourou, French Guiana awal pagi ini akan meningkatkan keupayaan capaian Internet negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dengan pelancaran Satelit Measat-3d, keupayaan capaian Internet di kawasan bandar dan sub-luar bandar akan lebih ditingkatkan di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Hari yang penuh bersejarah, Measat Global Berhad (MEASAT) telah melancarkan satelit MEASAT-3d di Kourou, French Guiana.
“Harapan saya adalah untuk pelancaran satelit ini membantu merapatkan jurang digital, seterusnya menarik lebih anak muda untuk menceburi bidang aeroangkasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut berada di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi menyaksikan siaran langsung pelancaran satelit MEASAT-3d yang dipancarkan dari European Spaceport di Kourou, French Guiana.

Pelancaran Satelit MEASAT-3d berjaya dilakukan pada jam 5.50 pagi tadi waktu Malaysia.
Dengan kos sekitar RM1.2 bilion, Measat-3d adalah yang paling komprehensif dan kompleks di dalam kumpulannya berbanding Measat-3a dan Measat-3b.
Satelit berbilang misi telekomunikasi itu dibangunkan oleh Airbus Defence and Space di atas platform Eurostar E3000 dengan berat 5,648 kilogram dan jangka operasi lebih 18 tahun menggunakan kuasa elektrik 12kW pada akhir hayatnya.

Satelit berkenaan dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela). – Malaysiapost