MEASAT-3d mampu beri perkhidmatan internet sehingga 100 mbps – Annuar
SATELIT kelapan negara, MEASAT-3d yang dilancarkan ke orbit dari European Spaceport di Kourou, French Guiana, awal pagi tadi, akan melengkapkan lagi pelaksanaan Pelan Digital Negara (My Digital) dan Jaringan Digital Negara (Jendela).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata satelit tersebut berkemampuan memberi perkhidmatan Jalur Lebar Satelit berkelajuan tinggi sehingga 100 mbps berbanding sekarang hanya di bawah 5 mbps.
“Ia juga memungkinkan kita menyediakan ketersambungan perkhidmatan internet ke semua kawasan berpenduduk, khususnya di pendalaman dan luar bandar.
“Tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan pelancaran MEASAT-3d ini dan tahniah Malaysia,” ujarnya.
Pelancaran itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
MEASAT-3d dilancarkan dari European Spaceport di Kourou, French Guiana yang terletak di Amerika Selatan dan kerajaan Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek.
Satelit itu boleh dimanfaatkan untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga hingga lima peratus populasi (atau kira-kira dua juta rakyat) yang masih belum mempunyai sambungan gentian atau jalur lebar tanpa wayar. – Malaysiapost