Pejuang gesa PM campur tangan selamatkan tanah Kampung Sungai Baru

PARTI Pejuang Wilayah Persekutuan mendakwa proses pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur bercanggah dengan undang-undang khususnya Akta Pengambilan Tanah 1960.

Pengerusinya, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata, mana mungkin tanah milik peribadi yang bergeran diambil dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk tujuan pembangunan komersil tanpa unsur-unsur pembangunan bagi kepentingan awam.

Justeru, Khairuddin berkata, Pejuang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya selaku Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan merayu agar Perdana Menteri campur tangan dalam isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.

“Pada tahun 2019 ketika Perdana Menteri menjadi Ketua Pembangkang telah membuat kenyataan di ruang legar Parlimen bahawa proses pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru tidak boleh dilakukan kerana ia bukan untuk tujuan pembangunan bagi kepentingan awam.

“Perdana Menteri harus mempertahankan kenyataan beliau dan membantu mempertahan hak orang Melayu yang tinggal di Kampung Sungai Baru,” katanya kepada media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Terdahulu, Khairuddin membuat laporan polis berhubung terhadap empat individu yang didakwa terbabit dalam isu berkenaan.

Bagaimanapun, Khairuddin tidak mendedahkan nama empat individu terbabit.

Mengulas mengenainya, Khairuddin menegaskan, kerajaan harus menitik beratkan isu kependudukan Melayu di kawasan bandar yang senantiasa berdepan dengan pelbagai cabaran hidup.

“Kita harus mempertahankan tanah orang-orang Melayu di kawasan bandar dan sekiranya mampu untuk menambah pemilikan tanah-tanah Melayu di bandar atau separa bandar.

“Ciri-ciri Melayu dan kependudukan anak bangsa di kawasan-kawasan bandar mesti dipertahankan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights