KERAJAAN bersetuju mewujudkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) bagi mempertingkat dan memartabatkan sistem perundangan Syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, berkata kerajaan juga bersetuju melantik bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha, sebagai Pengerusi JKMMS.
“Kerajaan amat yakin dengan kewibawaan serta pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam akan membantu usaha-usaha kerajaan untuk memperkukuhkan institusi kehakiman syariah.
“Kerajaan juga yakin dengan gabungan kewibawaan ahli-ahli yang dilantik untuk bersama-sama membuat kajian, memberikan syor dan cadangan serta usaha-usaha ke arah penambahbaikan dan transformasi Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua 12 tokoh yang dilantik sebagai ahli JKMMS dan berharap mereka dapat menjalankan amanah diberi dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah.
Idris berkata, JKMMS diwujudkan semula selepas terhenti pada 2018.
“Jawatankuasa ini bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) selaku urus setia akan bergerak membuat kajian, cadangan dan syor kepada Kerajaan. Ia akan dilaksana mengikut lunas-lunas dan tertibnya.
“Saya mengharapkan dukungan daripada rakyat Malaysia bersatu hati dan tindakan dalam sama-sama kita meningkatkan taraf Mahkamah Syariah sebagaimana tingginya martabat Islam,” katanya. – Malaysiapost