PM perlu beri perhatian serius isu jawatan Zuraida – Wan Saiful

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa untuk berjumpa dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan isu kedudukan jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan turut mengingatkan, kerajaan hari ini adalah hasil sokongan daripada beberapa Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata, Ismail Sabri juga dicalonkan oleh Bersatu untuk ‘diangkat’ menjadi Perdana Menteri kerajaan masa ini.

“Perdana Menteri kena bagi perhatian yang seriuslah. Kena ingat gabungan PN ada 50 orang Ahli Parlimen. Dicampur dengan sokongan kita dapat daripada GPS ada hampir 70 orang.

“Ini gabungan besar. Malahan lebih besar dari Barisan Nasional (BN). Kita yang angkat beliau jadi calon Perdana Menteri dan diterima dengan sokongan daripada kita,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang penyembelihan ayam MyFarm Village di Kuala Perlis, hari ini.

Wan Saiful berkata jemputan Muhyiddin untuk berjumpa dengan Ismail juga dibuat secara sihat dan ‘keluarga’.

Beliau berkata, jika Ismail Sabri mempunyai masa untuk menonton bola, tidak salahnya beliau meluangkan masa untuk berjumpa Muhyiddin berbincang kedudukan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai menteri.

“Jadi kalau ada masa tonton bola, takkan nak jumpa orang yang mencalonkan dia tak sempat.

“Kita sebut secara family, bukan dengan cara yang tak sihat. Rakaman pun tunjuk kita sebut dengan intonasi yang baik. Jadi lepas menonton bola, makan malam, apa salahnya penuhi jemputan untuk berjumpa,” katanya.

Pada 21 Jun lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata sudah menunggu terlalu lama untuk temu janji berjumpa Perdana Menteri berhubung kedudukan Zuraida sebagai menteri.

Muhyiddin sebelum ini juga berharap isu jawatan Zuraida dalam Kabinet diselesaikan dengan segera. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights