TEROWONG Berkembar Genting Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap dalam tempoh dua setengah tahun lagi bakal menjadi terowong rel terpanjang di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata projek ECRL itu bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia terutamanya di Pantai Timur.
“Projek ECRL ini akan mempunyai 20 buah stesen menghubungkan bandar raya, bandar-bandar, taman-taman perindustrian dengan rel berkelajuan 160 kilometer sejam yang turut dihubungkan dengan LRT Kelana Jaya Line di ITT Gombak.
“Sekali gus mengurangkan masa perjalanan ke Kelantan kepada 4 jam berbanding 7-12 jam ketika musim perayaan,” katanya dalam hantaran Facebook.
Perdana Menteri hari ini merasmikan Permulaan Pengorekan Terowong ECRL di Tapak Terowong Genting, Bukit Tinggi di Pahang.
Rangkaian rel sepanjang 665 kilometer (KM) yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61km serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127km dianggar menelan belanja RM50.27 bilion dan dijadual siap tahun 2026.
Pembinaan membabitkan Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu manakala Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, Selangor. – Malaysiapost