Rafizi tak faham dasar ekonomi dan fiskal – Najib 

Rafizi tak faham dasar ekonomi dan fiskal – Najib 

DATUK Seri Najib Razak membidas Rafizi Ramli kerana mengkritik formula subsidi yang telah memberi banyak kebaikan kepada rakyat dan negara selama ini.  

Bekas Perdana Menteri itu juga menyifatkan Timbalan Presiden PKR itu tidak faham mengenai dasar ekonomi dan fiskal.  

“Inilah jenis orang songsang yang langsung tak faham dasar ekonomi dan fiskal. 

“Ya, saya potong subsidi pukal untuk beralih ke subsidi bersasar (seperti minyak masak berpaket) sebab subsidi pukal lebih memanfaatkan orang kaya dan penyeludup yang akhirnya memanfaatkan rakyat di negara-negara jiran. 

“Ya, antara akibatnya ialah defisit kerajaan serta nisbah hutang negara turun sembilan tahun berturut. Tapi penjimatan darinya dialih terus kepada pemberian wang tunai dalam pelbagai skim seperti bantuan sekolah, pemansuhan yuran sekolah, bantuan BR1M, Kad Siswa yang tidak pernah wujud sebelum saya menjadi PM,” katanya di Facebook, hari ini.  

Menjelaskan mengenainya, Najib berkata, rakyat boleh memilih cara untuk membelanja bantuan tersebut berbanding terpaksa menerima dasar subsidi pukal.  

“Contohnya, orang yang tiada kereta dan bergantung kepada motosikal atau pengangkutan awam tidak kerugian kepada orang yang berkereta yang mendapat subsidi,” katanya.  

Selain itu, Najib berkata, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dapat diberikan kepada golongan sasaran tanpa pertambahan defisit kerajaan dan menjarah dana Petronas.  

Malah, Najib menjelaskan, formula subsidi yang digunapakai itu telah mengurangkan defisit hutang kerajaan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.  

“Misalnya, BR1M tak pernah wujud sebelum saya PM. Sifar. BR1M pertama kali diperkenalkan pada tahun 2012 dengan kadar RM500. 

“Tiap-tiap tahun kemudian, BR1M dinaikkan nilainya atau jumlah penerima yang layak diperluaskan – sehingga menjadi RM2,000 bagi tahun 2018 sekiranya BN menang. 

“Biarpun semakin bertambah, kerajaan BN melakukannya tanpa menaikkan defisit kerajaan, menaikkan kebergantungan kepada hasil minyak mahupun menjarah dana Petronas. 

“Malah, defisit kerajaan menurun bagi 9 tahun berturut. Dengan itu, nisbah hutang negara kepada KDNK turut menurun setiap tahun,” katanya.  

Ahli Parlimen Pekan itu menegaskan, jika melihat kepada rekod pemberian dan sekiranya kerajaan tidak bertukar pada PRU14 jumlah bantuan BR1M mungkin akan meningkat kepada RM2,300 atau RM4,000 tahun ini. 

“Bagaimana pula dengan kerajaan PH dengan formula-formula songsangnya? Defisit naik semula. Hutang negara dan nisbah hutang naik. Kebergantungan kepada hasil minyak naik. Petronas dijarah RM84 bilion. Aset-aset negara dijual satu persatu. 

“Nilai aset Khazanah jatuh 30 peratus berbanding kenaikan hampir empat kali ganda dari RM32 bilion ke RM116 blion sepanjang tempoh saya PM. 

“Ekonomi laju merudum. Dividen dan hibah menjunam. Formula tak boleh pakai. Bantuan dan BR1M naik? Tak. 30 ringgek kamu dapat. Pelbagai bantuan lain dimansuhkan,” sindir Najib. 

Terdahulu, menerusi ciapan di Twitter, Rafizi membidas formula subsidi itu yang disifatkannya sebagai putar belit Najib.  

“Putar belit Najib ini mungkin ditelan hidup-hidup oleh pengikutnya tetapi majoriti rakyat masih ingat kebencian Najib terhadap subsidi. 

“Sebaik menjadi Perdana Menteri dalam tahun 2009, antara dasar pertama yang dilaksanakan ialah memotong subsidi dengan sasaran menghapuskan terus subsidi. 

“Oleh kerana ini zaman internet, semua putar belit Najib boleh sahaja dibongkar dengan bantuan Pak Cik Google,” katanya. – Malaysiapost

Komen