‘Siapa kartel yang beri duit pada saya, jangan cakap saja’ – Musa Hassan

‘Siapa kartel yang beri duit pada saya, jangan cakap saja’ – Musa Hassan

“SAYA nak tahu siapa kartel yang beri duit pada saya? Beritahulah nama dia, jangan cakap kartel saja,” kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau sekali lagi mengulangi agar pihak-pihak yang menuduh dirinya terlibat dengan kartel jenayah supaya membuktikan tuduhan mereka.

Menurutnya, banyak pihak cuba mengaitkan dirinya dengan sindiket jenayah namun sehingga kini tidak dapat membuktikan perkara tersebut, lapor MalaysiaGazette.

Justeru, katanya, dakwaan yang dibuat Edisi Siasat berhubung perkara itu perlu disertakan nama individu yang memberikan duit kepadanya dan pihak yang menuduh perlu menyertakan sekali nama pemberi.

“Saya nak tahu siapa kartel yang beri duit pada saya? Beritahulah nama dia…jangan cakap kartel saja. Siapa kartel yang beri kat saya?

“Dulu ramai orang cakap saya ambil rasuah dan saya sendiri sudah lapor pada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) dan mereka sudah siasat saya,” katanya.

Sebelum ini, Edisi Siasat dalam satu ciapan mendakwa Musa merupakan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima suapan daripada penjenayah.

Mengulas lanjut, Musa berkata, tidak wujud penglibatan kartel jenayah di dalam PDRM semasa beliau bertugas tetapi tidak menafikan ada orang tengah atau PR yang cuba menjadi memberi rasuah kepada anggota polis.

“Dalam polis tiada kartel, tapi PR yang hubungi anggota dan pegawai polis untuk berpakat dengan dia orang memang ada. Kalau dia (Edisi Siasat) tahu siapa kartel itu tolong bagi tahu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata, sekurang-kurangnya 15 pusat hiburan di sekitar ibu kota dikesan menjalankan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah yang didalangi pemilik dan sindiket dadah.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) berkata, ia dikenal pasti melalui tinjauan di lapangan dan maklumat orang ramai.

Beliau berkata, apa yang menyedihkan, tiada sebarang tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap pusat hiburan seperti ini yang didapati semakin bermaharajalela. – Malaysiapost

Komen