Syed Saddiq risau poket Pengerusi FELDA penuh, peneroka dapat ‘peluh’

Syed Saddiq risau poket Pengerusi FELDA penuh, peneroka dapat ‘peluh’

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas cadangan FELDA untuk menaikkan elaun pengerusinya daripada RM300,000 kepada RM480,000 setahun.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu, berkata beliau risau dengan perkembangan terbaharu FELDA itu kerana ianya tidak sepatutnya berlaku dengan sewenang-wenangnya memandangkan agensi kerajaan tersebut wujud hasil keringat peneroka.

“Maksudnya, setiap bulan Pengerusi FELDA akan terima elaun dalam kira-kira RM40,000 sebulan. Ini baru elaun. Belum campur gaji pokok, faedah-faedah sebagai Pengerusi.

“Selama ini, elaun RM300,000 itu tak cukup lagi kah? Ini baru Pengerusi. Ahli Lembaga Pengarah lain pun dapat kenaikan lumayan.

“Saya betul-betul risau. FELDA ini adalah syarikat milik kerajaan. Duit FELDA adalah duit peneroka FELDA, duit rakyat. Tapi gaji dan elaun rakyat tak naik pun,” katanya menersui Facebook, hari ini.

Dalam hantaran sama, Syed Saddiq turut menyindir kenaikan elaun Pengerusi FELDA itu tidak selari dengan situasi semasa yang berlaku dalam negara.

“Yang naik, harga sayur sampai cecah lebih 150 peratus di pasar. Yang naik, harga ayam dan telur sebab kerajaan hapus harga siling.

“Yang naik, harga minyak masak untuk rakyat. Yang naik, tarif elektrik. Yang naik, harga sayur. Yang naik, harga tambang bas sekolah. Yang naik, harga rumah.

“Kalau begini cara kerajaan urus FELDA, memang hasilnya tak dapat dekat rakyat. Duit poket Lembaga Pengarah FELDA penuh, peneroka FELDA dapat peluh sahaja,” katanya

Terdahulu, tular di media sosial mengenai satu mesyuarat FELDA membincangkan mengenai kenaikan elaun Pengerusinya daripada RM300,000 kepada RM480,000.

Selain itu, kereta rasmi juga akan ditukar baharu dan ditambah pula dengan elaun kereta sebanyak RM18,000 sebulan.

Perkara itu mendapat perhatian netizen yang mempertikaikan kenaikan elaun pengerusi FELDA itu ditengah-tengah isu kenaikan harga barang dan subsidi minyak masak tulen berbotol yang akan dimansuhkan bermula Julai ini. -Malaysiapost

Komen