Tajuddin digugur daripada MKT Umno

Tajuddin digugur daripada MKT Umno

AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Menurut satu surat yang tular, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan turut merakamkan terima kasih kepada Tajuddin atas khidmat beliau sebagai ahli majlis tersebut, lapor FMT.

“Presiden (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi) melalui surat ini menamatkan pelantikan Datuk Seri sebagai ahli MKT Umno,” katanya dalam surat bertarikh 21 Jun.

Bagaimanapun Ahmad tidak menyatakan butiran lanjut sebab Tajuddin yang juga Duta Besar Malaysia ke Indonesia dipecat dalam surat itu.

Bagaimanapun, sumber mengesahkan kesahihan surat itu.

Menerusi surat berkenaan, Ahmad berkata, Umno berharap Tajuddin akan meneruskan khidmat sebagi ahli parti yang komited, selain merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai duta besar.

Ahad lalu, Tajuddin mengesahkan menerima watikah pelantikan sebagai duta besar Malaysia ke republik itu. Beliau menggantikan Zainal Abidin Bakar yang bersara pada 4 April 2021.

Pelantikan Tajuddin itu menerima kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk wakil rakyat dan diplomat yang antara lain mempersoalkan kelayakan beliau menjadi duta ke Indonesia.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Ismail Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertahankan pelantikan itu, menyifatkan Tajuddin sebagai ahli politik yang berpengalaman.

Sebelum ini, Tajuddin pernah dipecat sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd pada Mei 2021, beberapa hari selepas kenyataannya kontroversi berhubung kemalangan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang mengundang kritikan orang ramai. – Malaysiapost

Komen