Tak boleh marah pelajar, umpama ternak ayam daging di sekolah – Sanusi

Tak boleh marah pelajar, umpama ternak ayam daging di sekolah – Sanusi

“KITA sedang ternak ayam daging di sekolah,” kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkenaan sikap ibu bapa dalam mendisiplinkan anak mereka. 

Menteri Besar Kedah itu menyindir sikap ibu bapa pada masa ini yang didakwa terlalu memanjakan anak sehingga sanggup masuk campur urusan pihak sekolah mendisiplinkan pelajar. 

“Tak boleh denda, murid tak boleh rotan, tegur atau marah. Kalau semua tak boleh buat, kita sedang ternak ayam daging di sekolah.

“Tak tau nak cakap, kita tak boleh ternak ayam daging di sekolah,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Bengkel Kerja Pemantapan Pengoperasian Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Dan PIBG Dama Pendidikan Sekolah-Sekolah Kedah 2022.

Muhammad Sanusi berkata, bagi mendisiplin pelajar, tindakan disiplin yang munasabah perlu dilakukan agar anak murid dan ibu bapa faham bahawa sesuatu perkara yang dilakukan itu adalah salah dilakukan di sekolah.

“Perlu ada tindakan disiplin yang munasabah agar anak murid faham. Takkan nak marah pun tak boleh nak kena masuk mesyuarat bincang dahulu,” katanya. – Malaysiapost

Komen