Wajarkah strategi petrol dua jenis diteruskan, soal Shahrir

Wajarkah strategi petrol dua jenis diteruskan, soal Shahrir

SEORANG pemimpin veteran Umno mempersoalkan kewajaran kerajaan meneruskan strategi petrol dua jenis sahaja iaitu RON95 dan RON97 ketika ini.

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Tan Sri Shahrir Samad berkata ini kerana pengguna RON97 untuk kereta jenis mahal kini telah beralih kepada RON95.

Susulan itu, katanya, beban subsidi bagi bahan api bertambah apabila semakin ramai pemilik kereta yang sebelumnya menggunakan RON97, beralih ke RON95 kerana boleh berjimat lebih RM2 seliter.

Di Johor Bahru, menurut Shahrir, pengusaha stesen petrol berdepan dengan masalah yang lain pula.

“Seorang pengusaha memberitahu saya bahawa pemandu kereta Singapura ada yang sedia memberi ‘tip’ RM50 kepada petugas pam kalau dibenar membeli petrol RON95.

“Perbezaan harga petrol RON95 Malaysia dengan RON95 Singapura hampir RM10 seliter. Maka masih berbaloi kalau mengisi penoh setangki dan bayar juga upahan ‘tip’ RM50.

“Macam-macam hal apabila petrol kita termurah berbanding negara-negara jiran.

“Bak kata seorang kenalan saya: “Apa masalahnya? Kan kita negara kaya! Kita sedia memberi subsidi kepada yang kaya dan yang miskin serta yang orang asing”.

Baru-baru ini Shahrir mencadangkan kerajaan memperkenalkan semula petrol RON93 supaya pengguna ada pilihan petrol yang lebih murah dari RON95.

Dengan langkah itu, katanya, negara akan mempunyai tiga gred petrol iaitu RON97, RON95 dan RON93.

Sebelum ini media melaporkan, berlaku , penurunan 65 peratus jualan RON97 yang menjadi bukti sebahagian besar orang kaya dan orang berkemampuan telah bertukar ke RON95 untuk menikmati subsidi kerajaan. – Malaysiapost

Komen