PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing di Ibu Pejabat Umno di ibu negara semalam.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengadakan pertemuan lebih sejam yang bermula pada jam 11.30 tengah hari, lapor Umno Online.
Dilaporkan pertemuan berlangsung dalam suasana mesra didahului jamuan ringan dan disusuli perbincangan berkaitan isu-isu semasa.
Antara lain perbincangan berkenaan hubungan terjalin antara Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu dengan China yang telah memasuki ke-48 tahun.
“BN akan memulihkan keyakinan pelabur asing dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kita perlukan negara sahabat sebagai sokongan.
“Perbincangan juga menyentuh mengenai peranan Malaysia sebagai salah satu rakan dagang utama China dalam kalangan negara Asean meskipun dilanda pandemik Covid-19.
“Hubungan China dan Malaysia juga perlu mematuhi sentimen diplomatik dan sensitiviti untuk kesejahteraan rantau ini,” memetik kenyataan yang diberikan.
Pada akhir pertemuan itu, Ahmad Zahid dan Yujing melakukan pertukaran cenderamata. – Malaysiapost